Thursday, January 28, 2010

Menjengah 2010

Salam
Agak lama aku menyepikan diri daripada menulis di blog ini...
Hampir-hampir enam bulan rasanya. Maaf lah, mungkin kerana kasibukan bekerja membuatkan urusan mengendali blog ini tergendala sebentar. Berdasarkan kepada azam aku tahun ini untuk aktif menulis kembali, maka aku kuatkan semangat untuk membuka lembaran baru tahun 2010 sebagai tahun menulis blog. (sebaik-baiknya aku akan menggunakan istilah dan tatabahasa yang bermutu agar kelak tulisan aku ini tidak akan ditempelak)

Bercakap pasal penulisan dan tatabahasa, ingatan aku terus teringat wajah manis guru bahasa melayu aku semasa di tingkatan lima, Sekolah Tinggi Segamat, Puan Aisyah bt Tamin. Bagi rakan-rakan seperjuangan, mesti anda tak lupa kepada cikgu yang terkenal dengan ayat-ayat pedasnya ini. Pernah satu hari aku dihalau dari kelasnya gara-gara berjenaka tidak kena pada masanya. Bayangkan, masa kejadian tu, beliau memang betul-betul tengah mengamuk, tiba-tiba aku buat lawak bodoh, masakan tidak anginnya naik satu badan? Maka dengan berat hati, aku pun melangkah keluar dari kelas dan menghala ke perpustakaan. Begitulah setiap hari selama tiga bulan lamanya. Setiap kali waktu kelasnya, aku akan beredar ke perpustakaan. Beliau tidak akan mula mengajar selagi kelibat aku masih berada di dalam kelas. Terpaksalah aku bekorban untuk rakan-rakan.

Krisis tersebut membuatkan aku betul-betul rasa terbuang. Ada kawan-kawan yang mencemuh, sedangkan yang mencemuh itu, sebenarnya lebih syaitan daripada aku. Tapi aku tidak mudah serah kalah. Aku berjuang sendirian. Di perpustakaan, aku letakkan satu meja di koridor. Memandangkan perpustakaan bersebelah dengan kelas aku, jadi aku masih dapat dengar apa yang sedang diajar oleh Cikgu Aisyah. Justeru, aku meneruskan pelajaran seperti biasa. Aku tahu, adakalanya Cikgu Aisyah perhatikan aku dari kaca tingkap, aku cuba selami perasaan dia. Aku dapat rasakan yang seseorang cikgu itu takkan sampai membenci anak muridnya. Buktinya, beliau masiah membiarkan tingkap terbuka untuk aku agar dapat mendengar butiran pengajarannya. Terima kasih cikgu!

Hasilnya, result subject bahasa melayu telah membuktikan aku berada ditahap yang terbaik. Lantaran aku dipuji oleh guru yang dahulunya telah menafikan hak aku untuk belajar di dalam kelas. Alhamdulillah kini segalanya telah pun selesai. Aku langsung tidak pernah menyimpan dendam kesumat. Mungkin ini lah hikmah dan aku sama sekali tidak akan melupainya seumur hidup aku. Terima kasih atas didikan.

Buat anak-anak,
Hormatilah guru-guru sepertimana hormatnya kalian terhadap ibu dan bapa. Nilai-nilai murni yang dipupuk mereka perlulah diparktikkan di dalam kehidupan. Hindarilah sifat ego kerana perkara tersebut tidak memberikan apa-apa makna di dalam kehidupan kalian dan janganlah sampai kalian berfikir, kepintaran yang kalian ada tidak didorong oleh pertolongan orang lain. Moga hidup kalian akan lebih diwarnai bak sinaran pelangi pagi.

wassalam

No comments:

Post a Comment

Adalah dipelawa sesiapa sahaja untuk memberikan pandangan atau sesiapa sahaja yang ingin menceritakan pengalaman dilaman ini.