Thursday, January 28, 2010

Menjengah 2010

Salam
Agak lama aku menyepikan diri daripada menulis di blog ini...
Hampir-hampir enam bulan rasanya. Maaf lah, mungkin kerana kasibukan bekerja membuatkan urusan mengendali blog ini tergendala sebentar. Berdasarkan kepada azam aku tahun ini untuk aktif menulis kembali, maka aku kuatkan semangat untuk membuka lembaran baru tahun 2010 sebagai tahun menulis blog. (sebaik-baiknya aku akan menggunakan istilah dan tatabahasa yang bermutu agar kelak tulisan aku ini tidak akan ditempelak)

Bercakap pasal penulisan dan tatabahasa, ingatan aku terus teringat wajah manis guru bahasa melayu aku semasa di tingkatan lima, Sekolah Tinggi Segamat, Puan Aisyah bt Tamin. Bagi rakan-rakan seperjuangan, mesti anda tak lupa kepada cikgu yang terkenal dengan ayat-ayat pedasnya ini. Pernah satu hari aku dihalau dari kelasnya gara-gara berjenaka tidak kena pada masanya. Bayangkan, masa kejadian tu, beliau memang betul-betul tengah mengamuk, tiba-tiba aku buat lawak bodoh, masakan tidak anginnya naik satu badan? Maka dengan berat hati, aku pun melangkah keluar dari kelas dan menghala ke perpustakaan. Begitulah setiap hari selama tiga bulan lamanya. Setiap kali waktu kelasnya, aku akan beredar ke perpustakaan. Beliau tidak akan mula mengajar selagi kelibat aku masih berada di dalam kelas. Terpaksalah aku bekorban untuk rakan-rakan.

Krisis tersebut membuatkan aku betul-betul rasa terbuang. Ada kawan-kawan yang mencemuh, sedangkan yang mencemuh itu, sebenarnya lebih syaitan daripada aku. Tapi aku tidak mudah serah kalah. Aku berjuang sendirian. Di perpustakaan, aku letakkan satu meja di koridor. Memandangkan perpustakaan bersebelah dengan kelas aku, jadi aku masih dapat dengar apa yang sedang diajar oleh Cikgu Aisyah. Justeru, aku meneruskan pelajaran seperti biasa. Aku tahu, adakalanya Cikgu Aisyah perhatikan aku dari kaca tingkap, aku cuba selami perasaan dia. Aku dapat rasakan yang seseorang cikgu itu takkan sampai membenci anak muridnya. Buktinya, beliau masiah membiarkan tingkap terbuka untuk aku agar dapat mendengar butiran pengajarannya. Terima kasih cikgu!

Hasilnya, result subject bahasa melayu telah membuktikan aku berada ditahap yang terbaik. Lantaran aku dipuji oleh guru yang dahulunya telah menafikan hak aku untuk belajar di dalam kelas. Alhamdulillah kini segalanya telah pun selesai. Aku langsung tidak pernah menyimpan dendam kesumat. Mungkin ini lah hikmah dan aku sama sekali tidak akan melupainya seumur hidup aku. Terima kasih atas didikan.

Buat anak-anak,
Hormatilah guru-guru sepertimana hormatnya kalian terhadap ibu dan bapa. Nilai-nilai murni yang dipupuk mereka perlulah diparktikkan di dalam kehidupan. Hindarilah sifat ego kerana perkara tersebut tidak memberikan apa-apa makna di dalam kehidupan kalian dan janganlah sampai kalian berfikir, kepintaran yang kalian ada tidak didorong oleh pertolongan orang lain. Moga hidup kalian akan lebih diwarnai bak sinaran pelangi pagi.

wassalam

Friday, August 7, 2009

Fakta yang perlu diketahui

Sebagai Peringatan : Kebelakangan ini, kes semakin meningkat di seluruh negara. Segeralah ke hospital.

Friday, June 26, 2009

Apa Nak Jadi Ni?

(di petik dari akhbar KOSMO 27/6/2009)

10 pelajar serang rumah guru
Oleh MANIRAH OTHMAN


manirah.othman@kosmo.com.my





RUMAH guru disiplin yang diserang oleh sekumpulan pelajar di Kampung Paya Resak, Marang kelmarin.

KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak berpuas hati kerana salah seorang rakan mereka dihukum rotan oleh guru disiplin sekolah, sekumpulan 10 pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Bukit Payung, Marang menyerang rumah guru itu.


Kejadian berlaku pada pukul 6.10 petang kelmarin ketika guru disiplin berusia 38 tahun itu berada di rumahnya di Kampung Paya Resak, Bukit Payung bersama isteri dan tiga orang anak masing-masing berusia empat, enam dan 11 tahun.


Tindakan pelajar ala samseng itu menyebabkan dua buah kereta iaitu Proton Waja dan Proton Satria milik guru rosak.Bagaimanapun, guru itu dan keluarganya tidak cedera.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, sebaik sampai di luar rumah guru itu, kumpulan pelajar terbabit membuat bising.


"Mereka kemudian mencabar guru disiplin itu supaya bersemuka dengan mereka tetapi guru itu tidak memberi tindak balas dan hanya mengintai melalui tingkap rumah," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.



* korang pikir lah sendiri *

* ada sebarang komen? *

Tuesday, June 23, 2009

Sekadar Renungan

Assalamualaikum (For muslim) & Salam Sejahtera (For none muslim)

Let us share what Datuk Dr. Fadilah Kamsah used to say: " Ada orang datang ke pejabat dengan perasaan penuh gembira & ceria , ada datang dengan perasaan "biasa" dan ada datang dengan perasaan serba tak kena ." Ingat lah, sesiapa yang datang hanya dengan perasaan "biasa" saja, hasilnya adalah "biasa" saja, sesiapa yang datang dengan ceria, hasilnya akan jadi lebih daripada biasa ataupun luar biasa. Bekerja la dengan ceria agar menghasilkan produktiviti yang luar biasa yang akan menggembirakan orang di sekeliling kita. Semoga hasil itu akan mendapat keberkatan insyallah..." Jadi renungkan lah....
  1. Ada antara kita datang ke pejabat hanya memenuhi tanggungjawab 'DATANG BEKERJA' tapi hampa, hasilnya macam kita ' TAK DATANG' kerja
  2. Ada kala kita rasa kita BUSY giler, rupanya kita hanya 'KELAM KABUT' .
  3. Adakala kita rasa kita PERIHATIN , tapi rupanya kita BUSY BODY.
  4. Adakala kita rasa kita OPENMINDED and OUTSPOKEN tapi rupanya kita KURANG PENGAJAR'AN.
  5. Adakala kita rasa kita berpemikiran KRITIS , rupanya kita hanya lebih kepada KRITIK yang mencipta KRISIS .
  6. Adakala kita rasa kita ingin menjadi LEBIH MESRA tapi rupanya kita di lihat lebih MENGADA-NGADA .
  7. Adakala kita suka bertanya 'KENAPA DIA NI MCM TAKDE KEJE', adalah lebih baik kita tanya 'APA LAGI KEJE YANG AKU BOLEH BUAT ?'
  8. Adakala kita rasa kita ni pekerja yang SEMPURNA,BAIK DAN BERDEDIKASI tapi cuba tengok dalam-dalam,selagi hati kita berdengki, jatuhkan reputasi sesama rakan sekerja (report kat bos kawan kita tak bagus dari kita) dan tak amanah (mencuri dan tak siapkan kerja),kita sebenarnya patut terima hakikat betapa kita lebih teruk dari dari anggapan kita itu sendiri.

Pejam mata dan renung lah diri, kalau kita perlu melakukan ANJAKAN PARADIGMA , maka lakukanlah segera...tapi manusia tetap manusia.. sukar untuk berubah kerana kita selalu beranggapan kita lebih baik... adakah dengan merasakan itu kita sememangnya terbaik? Maka untuk itu , mari kita mula senyum, ceria, mesra sesama kita dan tingkat kerjasama dalam kerja, tak rugi kita semai rasa 'kekeluargaan' dalam tugasan ... kalau kita kurang kerja, cari la kerja membantu teman-teman yang lain. Tak dapat gaji lebih pun tak apa sebab pahala dapat.. kita withdraw kat akhirat nanti... tapi kalau kita asyik dengki mendengki.. nasib la sebab sudah ditentukan jalan yang sukar itu yang kita pilih..

~ Renungi lah, ~
berapa ramai kawan kita dan berapa ramai lawan kita, nescaya itulah kayu pengukur diri yang sebaiknya
Mengkritik tidak bererti menentang,
Menyetujui tidak semestinya menyokong,
Menegur tidak bermakna membenci,
Berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Monday, June 22, 2009

Melepak, buang masa dibolehkan untuk 5 perkara

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Konsep amar makruf nahi mungkar wajar dihidup dalam usaha tangani gejala sosial
GEJALA lepak di kalangan remaja dan warga tua adalah fenomena biasa dalam masyarakat hari ini. Jika remaja semakin ramai mengerumuni kawasan kompleks beli-belah, golongan dewasa pula melepak di kedai kopi atau kedai makan.

Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan kecacatan berlaku dalam masyarakat sekarang kerana remaja sepatutnya sedang sibuk menuntut ilmu, manakala golongan dewasa memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga.
Rasulullah SAW pernah pada satu hari melewati jalan, akhirnya Baginda SAW terserempak dengan sahabat sedang asyik duduk berborak dan melepak di tepi jalan. Melihat kelakuan mereka itu, lalu Rasulullah berkata: "Jangan kamu sekalian berborak dan melepak di tepi jalan.

Tetapi sahabat menjawab: "Wahai Rasulullah! Bagaimana mungkin kami dapat meninggalkan amalan ini kerana hanya di situlah saja kami dapat bercakap-cakap dan berborak sesama sendiri. Kemudian, Baginda SAW memberi pilihan atau jalan keluar daripada amalan itu dengan berkata: "Jika kalian semua tidak dapat meninggalkan kebiasaan itu, maka hendaklah kamu tunaikan hak jalan ini."

Mereka pun bertanya: "Apakah hak jalan itu wahai Rasulullah? Baginda SAW menjawab: 'Tundukkan pandanganmu, elakkan diri daripada mengganggu orang lain, menjawab salam dan menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Jelaslah amalan berborak dan melepak sudah menjadi satu kebiasaan di kalangan sahabat sehingga mereka mengakui sukar untuk membuang tabiat kebiasaan itu. Agenda utama perutusan Rasulullah SAW ialah untuk meluruskan akhlak yang buruk dan keji.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud: "Aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak (yang terpuji), maka sudah tentu Rasulullah SAW bertindak untuk mengubah kebiasaan negatif itu supaya ia tidak membarah dalam masyarakat Islam pada ketika itu."
Pada masa sama, Rasulullah SAW tidak ketinggalan menawarkan beberapa langkah alternatif kepada sahabat supaya mereka dapat membebaskan diri daripada kebiasaan melepak dan berborak yang hanya membuang masa.

Perkara pertama dianjurkan Rasulullah SAW ialah menundukkan pandangan daripada perkara yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, sekali gus mendatangkan dosa. Dengan kata lain, pandangan mata adalah dilarang sama sekali untuk melihat perkara dilarang seperti aurat atau memandang wanita ajnabi lama-lama.
Rasulullah SAW pernah memberi peringatan sesiapa yang terpandang seseorang wanita secara
kebetulan pada kali pertama, maka itu adalah nikmat dari Allah. Sebaliknya, jika dia memandang buat kali kedua disertai gejolak
nafsu menyeru ke arah kejahatan, maka perbuatan itu mengundang dosa dan keseksaan api neraka.

Adab pergaulan kedua yang akan menjamin keharmonian sesebuah masyarakat ialah seseorang yang berborak di tepi jalan itu tidak boleh mengganggu orang lain daripada segi perasaannya serta fizikalnya.

Rasulullah SAW pernah menegaskan antara ciri Muslim sejati dalam sabda yang bermaksud: "Seorang Muslim yang sejati ialah orang Islam di sekelilingnya yang berasa selamat daripada lidahnya dan tangannya; seorang Mukmin sejati ialah orang Mukmin di sekelilingnya berasa aman terhadap diri mereka dan harta benda mereka sendiri; dan seorang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah seorang yang meninggalkan perkara keji, lalu menjauhinya." (Hadis riwayat Ahmad)

Umat Islam dilarang sama sekali daripada melepak dan berborak di tepi jalan hingga menyebabkan gangguan kepada orang lain ter-utama apabila ia menyekat laluan orang ramai atau berlaku aksi menggoda atau mengurat golo_ngan wanita melintas di kawasan itu.

Pendek kata, segala jenis gangguan sama ada secara zahir mahupun batin yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam adalah ditegah sama sekali dalam Islam.
Adab seterusnya yang diiktiraf Islam sebagai pengikat kasih sayang sesama manusia ialah menjawab salam. Menurut Islam, hukum mengucapkan salam adalah sunat, sementara menjawab salam pula hukumnya adalah wajib.

Justeru, apabila seseorang yang sedang berbicara di tepi jalan, tiba-tiba ada mendengar ucapan salam, maka wajib menjawab salam itu. Perintah ini selaras firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Nisa, ayat 86) Islam amat menganjurkan umatnya sentiasa mengucapkan dan menjawab salam antara satu sama lain. Sebenarnya ucapan salam itu sendiri mengungkapkan makna kedamaian dan keamanan sejagat untuk umat manusia.

Dengan itu, barulah terjalin hubungan yang akrab sesama Muslim apabila saling bertanya khabar, bertukar pendapat dan berita di samping pertemuan seumpama itu menyisihkan jauh segala bentuk perbuatan membangkitkan perasaan yang boleh memecahbelahkan kesatuan ummah.

Akhirnya, adab pergaulan keempat yang menjadi tonggak utama Islam ialah menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Justeru, jika berlaku sebarang amalan negatif yang bercanggah dengan Islam dan etika masyarakat seperti amalan berjudi, menghisap dadah, minum arak dan sebagainya di tepi jalan, maka umat Islam dituntut mencegah kemungkaran itu.

Begitu juga, amalan kebaikan hendaklah disampaikan juga kepada golongan yang berborak dan melepak seperti menasihat ke arah kebaikan, bersama menunaikan solat fardu berjemaah di masjid, membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka dia sudah mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan pahala sedikitpun juga. Sebaliknya, sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan, maka dia menanggung dosa seperti orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan dosanya sedikitpun." (Hadis riwayat Muslim)

Konsep amar makruf nahi mungkar sewajarnya dihidupkan dalam penghayatan komuniti Islam
kini supaya gejala sosial yang memudaratkan dihapuskan di samping masyarakat Islam dapat menikmati keharmonian dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat.

Thursday, June 18, 2009

Hanya kerana menolak lamaran, nyawa hampir melayang(Ragam Manusia)



Cerita seperti ini bukan lah satu perkara baru di Malaysia ni. Malahan kalau di bawa ke peringkat antarabangsa kita boleh andaikan perkara seperti ini boleh berlaku di mana-mana sahaja. Persoalannya, kenapa perlu terjadinya seperti itu?. Adakah ini persoalan maruah atau apa yang berlaku sebenarnya? atau adakah manusia telah hilang pertimbangan.
Ulasan ini bukanlah bermaksud untuk memenangkan mana-mana pihak. Tetapi perkara sebegini perlu dikupas se dalam-dalamnya agar generasi akan datang akanlebih maklum dengan permaslahatan yang berlaku.


Mana nak diletakkan air muka?
Kebiasaan di dalam adat atau cara hidup orang melayu, perkara yang melibatkan penolakkan kebiasaannya akan mengundang rasa marah. Ini kerana tercetus perasaanmalu dan hilang harga diri. Seseorang akan mengandaikan bahawa orang lain atau pihak ketiga akan membuat pelbagai andaian dengan mengeluarkan ayat-ayat cacian seperti
~ dulu lagi aku dah cakap kan....
~ ko tak rasa malu ke?...
~ ko ingat ko layak ke?...
~ habis lah ko kali ini...
~ "kah kah kah, ko dah tak laku lah"...

Kebiasaannya, perkara seperti ini tentunya mengundang rasa kurang senang empunya diriApabila telah wujud perasaan tidak senang, malu dan sebagainya, maka wujudlah perasaan marah dan dendam dan perasaan tersebut hanya boleh hilang selepas sesuatu perlu dilakukan. antaranya :-
~ menyalahkan diri sendiri
~ menyalahkan pihak lain

Apabila diri sendiri di persalahkan, adakalanya sesorang itu akan bertindak untuk bersendirian. Maka wujud situasi tidak boleh mengawal diri sendiri. Mereka ini akan mula memikirkan sesuatu seperti mencederakan diri sendiri dan memilih untuk tidak bersemuka dengan sesiapa. Ini jelas boleh mendatangkan bahaya dan amat ditakuti, mereka ini boleh bertindak membunuh diri. Harus diingat ISLAM mahupun mana-mana agama sekalipun tidak menyokong perlakuan membunuh diri dan ini adalah selaras dengan pendirian mana-mana negara di dunia ini.Ini barangkali jarang sekali berlaku sekalipun banyak terdapat babak-babak ini dalam filem-filem dari dunia Bollywood. ini kerana individu tersebut pantas menyelar pihak lain atas pemasalahan yang menimpa dirinya.

Kita ambil kisah yang tertera dalam Berita Harian keluaran 8 June 2009 ini. Apabila akal tidak dapat dikawal, individu tersebut sanggup membuat sesuatu di luar jangkaan. Mengambil tindakan dengan cubaan melanggar orang yang kita sayang, bukan kah itu di luar kawalan kotak pemikiran manusia. Bukan kah telah termaktub bahawa jodoh dan ajal maut tu di tangan tuhan. ingat, ini bukanlah jalan penyelesaian, sebaliknya ia seolah-olah permulaan terhadap pelbagai kesalahan yang tidak akan menguntungkan diri sendiri.

Perlu ada perasaan hormat menghormati
Kekadang mulut terlepas kata, mata terlepas pandang, tetapi jika di dalami lagi perkara seperti ini, mungkin dapat digunakan kata orang " tak ada angin,pokok tak kan bergoyang. Daripada kaca mata saya sebagai seorang lelaki, mungkin terjadi sesuatu sebalik kejadian ini. sebagai pengajaran kepada yang lain, ada baiknya sekiranya anda menolak lamaran orang, maka perlukan menggunakan pendekatan yang baik, ibarat menarik rambut di dalam tepung, tepung tak terurai,rambut juga tak putus.

Peranan pihak ketiga
Ibu bapa telah memainkan peranan yang baik dalam menjalankan tanggungjawab semasa membesarkan anak-anak. Tidak ada ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menjadi tidak baik. Malah di dalam doa mereka, sentiasa meminta yang baik-baik untuk anak jagaan mereka. Terpulang kepada anak-anak untuk menghormati apa yang ibu bapa mereka telah lakukan.Buat rakan-rakan, sentiasalah memberikan galakan dan sokongan kerana seseorang itu tidak akan boleh berdiri dengan sendirinya. Sikap ambil tahu perlu menjadi amalan dalam kehidupan. sebagai sahabat yang rapat seharusnya memahami perubahan sahabat kita. Ini boleh dizahirkan melalui perlakuan dan bahasa tubuh. Maka sentiasalah menjadi seorang yang peka terhadap sesuatu perubahan.

Akhir kata
perkara-perkara seumpama ini sebenarnya dapat dielak sekiranya semua pihak tahu akan tanggungjawab masing-masing. anda pula bagaimana?...kemungkinan adabeberapa perkara yang saya tidak sebutkan... sila lah kemukakan pandangan anda di laman ini...wassalam

Saturday, June 6, 2009

Salam Pengenalan

Salam semua,

Moga dengan permulaan salam ini akan membuka ruang pada aku untuk berjuang melalui penulisan untuk membela mereka-mereka yang kurang bernasib baik. Maaf dipinta andai kata dalam ungkapan-ungakapan aku seterus nya mungkin menyentuh keperibadian mereka-mereka yang anda rasa ada kaitan dengan anda. Tak kira melalui hubungan sebagai adik beradik, kerabat, kawan dan lawan.

Aku bukan orang yang hebat dalam pentas penulisan. Bukannya aku tak pernah menulis, cuma aku tak pernah keluarkan apa-apa naskah untuk tatapan. Tapi itu cerita sepuluh tahun lepas. Itu cerita semasa di bangku sekolah yang tak pernah aku lupakan. Sesekali kenangan tu datang, terasa macam aku ni masih di peringkat persekolahan.

Aku bukanlah orang yang sempurna yang ade segala-galanya. Aku membina jambatan kehidupan aku sendiri. Untuk menyeberang ke hujung sana, terdapat liku-liku yang aku rungkaikan sebagai satu kehidupan.

Untuk isteri aku, Norhanim binti Amir, terima kasih kerana memahami kerja-kerja aku selama ini. Terima kasih atas Segala apa yang kita pernah lalui hingga ke saat ini. Walau banyak halangan dan rintangan, kita tetap tabah dan redha dengan apa jua dugaan yang mendatang.

Untuk anak-anak, Saidah Humaira dan Salwa Huwaida, kalian berdua masih belum tahu saat abah mula menulis di halaman ini. Moga segala maklumat, makluman, nasihat mahu juga pengalaman dalam rencana abah yang berikutnya dapat kalian jadikan pedoman juga panduan hidup bila kalian sudah mempunyai kehidupan sendiri.

Aku berharap, aku akan terus menerus menulis. Aku juga berharap penulisan aku ini akan memberi kesan kepada yang memerlukan atas platform yang aku namakan kesedaran. Aku mengharap akan ada kebaikkan atas usaha yang aku mulakan ini.

Atas dasar kesedaran, aku pohon andai kalian di luar sana ada maklumat dan maklum balas berkaitan dengan apa jua perkara berkaitan dengan kehidupan manusia seperti cerita tentang kehidupan, manusia baik, manusia jahat yang mana boleh dijadikan contoh mahupun tauladan boleh lah dipanjang-panjangkan dalam blog ini.

Sebarang komen dan cadangan yang dikemukakan aku dahulukan ucapan jutaan terima kasih.